Blog Archives

Kaedah rawatan penyakit buah pinggang untuk dua tahap kronik (CKD)

Dua tahap kronik penyakit buah pinggang ialah Tahap 4 dan Tahap 5.

Dalam istilah perubatan, ia diklasifikasikan sebagai Penyakit Buah Pinggang Kronik (Chronic Kidney Desease – CKD)

Tulisan ini akan fokus kepada kaedah rawatan untuk pesakit buah pinggang Tahap 4 dan Tahap 5.

Kaedah rawatan untuk penyakit buah pinggang tahap awal, iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3 sudah dipaparkan di sini.

Apabila buah pinggang rosak pada Tahap 4 dan Tahap 5, ia sudah tidak mampu menjalankan fungsinya dengan baik, termasuk menapis darah, mengawal tekanan darah, membantu menghasilkan sel darah merah, mengawal hormon, menyeimbangkan cecair dalam badan dan mengawal kesihatan tulang.

Benar. Rawatan terhadap pesakit buah pinggang adalah berbeza di antara setiap kes. Ini akan dikenal pasti dan ditentukan oleh doktor perubatan yang membuat pemeriksaan dari semasa ke semasa.

Tulisan ini hanya panduan secara umum dan boleh diikuti sebagai garis panduan yang perlu disejajarkan dengan nasihat serta pedoman doktor perubatan.

Rawatan Tahap 4


Pada tahap ini, fungsi buah pinggang sudah merosot pada tahap teruk. Rujuk skala tahap penyakit buah pinggang dalam artikel ini.

Ketika ini, gejala yang mungkin ternampak dan dirasai pesakit ialah komplikasi tertentu seperti anemia, tekanan darah tinggi dan tahap darah yang tidak normal.

Amenia merujuk pada keadaan yang menyebabkan darah menjadi tidak sihat atau kekurangan sel darah merah atau hemoglobin. Hemoglobin ialah bahagian utama sel darah merah.

Jika sel darah merah terlalu sedikit atau tidak normal, sel-sel di dalam badan tidak akan mendapat oksigen mencukupi. Keadaan ini memudaratkan kesihatan keseluruhan dan menambah kerosakan fungsi buah pinggang.

Rawatan pada peringkat ini lebih bertujuan mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan kolesterol.

Untuk itu, antara yang perlu dilakukan oleh pesakit buah pinggang pada tahap ini ialah menjaga pemakanan bagi mengelak tekanan berterusan pada buah pinggang.

Mereka yang berada pada Tahap 4 penyakit buah pingang mungkin memerlukan hemodialisis atau pemindahan buah pinggang dalam masa terdekat.

Jadi, doktor dan pesakit sendiri perlu membuat persediaan untuk kemungkinan melaksanakan prosedur perubatan berkaitan.

Rawatan Tahap 5


Ini ialah tahap penyakit buah pinggang kronik yang sebenar atau dikenali juga dalam dunia perubatan sebagai Chronic Kidney Desease (CKD).

Pada peringkat ini, buah pinggang sudah rosak dan gagal berfungsi langsung. Organ ini sudah tidak lagi mampu melunaskan fungsi semulajadinya sebagai satu daripada alat mekanisme biologi tubuh manusia.

Bagaimanapun ia bukan titik akhir hayat!

Banyak ikhtiar boleh dilakukan untuk kelangsungan hidup.

Pada peringkat ini, fizikal penghidap biasanya akan mengalmi beberapa tanda lazim, termasuk keletihan ketara yang ada kaitan dengan masalah anemia (kurang darah merah), tiada selera makan, mual dan muntah.

Pada peringkat ini juga, tekanan darah tinggi mungkin mencanak naik, malah ada kebarangkalian pesakit mengalami sesak nafas.

Justeru, keluarga rapat atau pembantu mesti sentiasa bersedia untuk sebarang bentuk bantuan dan tindakan segera.

Rawatan Tahap 5 ini juga akan membabitkan sama ada prosedur hemodialisis atau pemindahan buah pinggang.

Pada Tahap 4 dan Tahap 5, sebelum menjalani prosedur hemodialisis atau pemindahan buah pinggang, berbincanglah dengan doktor perubatan mengenai tatacara prosedur serta risiko dan jadual rawatan berkaitan.

Keluarga terdekat perlu terbabit sama dalam perbincangan itu.

Tidak salah untuk bertanya semua perkara dan doktor perubatan sepatutnya mampu serta boleh menerangkan secara jelas semua prosedur dan risiko.

Pesakit atau keluarga juga boleh mendapatkan nasihat mengenai pusat hemodialisis yang dianggap baik serta sudah terbukti bagus untuk rawatan seterusnya.

Jika perlu dibuat pemidahan buah pinggang, berbincanglah dengan doktor perubatan berkaitan. Babitkan keluarga terdekat dalam perbincangan.

Dapatkan juga panduan pemakanan sihat serta sesuai untuk diambil setelah menjalani hemodialisis atau pemindahan buah pinggang



Cara Rawatan Sakit Buah Pinggang Untuk Tahap Tiga, Awal & Sederhana

Rawatan penyakit buah pinggang bergantung pada tahap penyakit berkenaan sama ada tahap awal atau tahap kronik.

Tulisan ini akan memperincikan cara dan tahap rawatan berkenaan. Bagaimanapun, penghidap perlu berbincang dengan doktor perubatan, termasuk membuat ujian kesihatan berkaitan untuk menentukan jenis rawatan yang sesuai.

Tulisan ini hanya sebagai panduan umum bagi memudahkan pesakit serta keluarga mendapat gambaran awal dan pengetahuan berkaitan.

Ada lima tahap utama penyakit buah pinggang. Dalam artikel terdahulu ada dijelaskan tahap-tahap penyakit buah pinggang. Sila baca di sini.

Rawatan mengikut tahap penyakit ialah:

Rawatan Tahap 1Ini tahap awal penyakit buah pinggang dan rawatan adalah lebih bertujuan mengenal pasti kaitannya dengan masalah kesihatan lain, terutama diabetes dan tekanan darah tinggi.

Usaha doktor perubatan pada tahap ini biasanya lebih menjurus untuk mengurangkan kesan diabetes dan tekanan darah tinggi kepada sebarang risiko komplikasi lain, termasuk yang dapat menjejaskan fungsi buah pinggang.

Pada tahap ini, pesakit perlu lebih kerap menemui doktor perubatan dan membuat pemeriksaan di klinik atau hospital, termasuk menjalani ujian saringan darah dan air kencing.

Pesakit juga perlu mengamalkan disiplin gaya hidup sihat, berhenti merokok, kerap bersenam, amalkan pemakanan sihat, urus stres dan pastikan tidur pada kuantiti dan kualiti yang cukup.

Rawatan Tahap 2


Tahap 2 penyakit buah pinggang ialah kehilangan fungsi buah pinggang pada tahap di antara ringan dan sederhana, tetapi perlu rawatan segera bagi mengelak lebih parah.

Tujuan rawatan pada tahap ini ialah untuk mengekalkan fungsi buah pinggang pada tahap sepatutnya.

Pada peringkat ini, jika pesakit menghidapi diabetes atau tekanan darah tinggi, masalah kesihatan ini perlu ditangani sebaiknya bagi mengelak risiko kompilkasi lebih buruk terhadap buah pinggang.

Pesakit perlu lebih kerap berjumpa doktor dan membuat pemeriksaan serta saringan ujian darah dan air kencing.

Mereka juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti pada Tahap 1 di atas.

Rawatan Tahap 3


Tahap ini menandakan penyakit buah pingang makin serius dan mengalami kerosakan serta kehilangan fungsi buah pinggang pada tahap di antara ringan dan sederhana, malah ada kemungkinan sedang menjurus kepada fasa kehilangan fungsi buah pinggang yang teruk.

Justeru, rawatan perlu lebih menumpukan kepada tujuan mengelak komplikasi dan melambatkan perkembangan kegagalan fungsi buah pinggang yang boleh membawa kepada tahap seterusnya, iaitu tahap penyakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Desease – CKD).

Selain memantau perkembangan diabetes atau tekanan darah tinggi, rawatan pada tahap ini lebih difokuskan kepada membendung komplikasi dan gejala baru serta melihat sebarang perubahan, jika ada, pada tahap penyakit dan kesihatan penghidap secara keseluruhan.

Malah, penghidap perlu mengelak mengambil sebarang makanan yang boleh menyumbang kepada kerosakan lebih teruk fungsi buah pinggang. Berbincanglah dahulu dengan doktor perubatan sebelum mengambil jenis makanan tertentu.

 

Berbincanglah juga dengan doktor jika perlu membuat pengubahsuaian dalam diet harian.

Dan, buat pemantauan, pemeriksaan dan ujian berterusan serta tersusun terhadap masalah kesihatan sedia ada seperti diabetes serta tekanan darah tinggi.



Top